Majlis Bersama Media dan Sesi Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) – Rakan Strategik Serta `Soft-Launch’ Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM) Peringkat Kebangsaan 2015



Majlis Bersama Media dan Sesi Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) – Rakan Strategik Serta `Soft-Launch’ Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM) Peringkat Kebangsaan 2015 diadakan bertujuan sebagai simbolik menandakan bermulanya aktiviti-aktiviti dan program serta kempen-kempen promosi yang dijalankan bersempena dengan penganjuran Sambutan Minggu Alam Sekitar Malaysia 2015 atau juga dikenali sebagai MASM.

Majlis ini telah diadakan pada 1 Oktober 2015 (Khamis) bertempat di Marina Putrajaya, Presint 5, Putrajaya dan disempurnakan oleh YB Datuk Ir. Haji Hamim Bin Samuri, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar. Turut hadir dalam majlis ini ialah YBhg. Dato’ Azizan Bin Ahmad, Ketua Setiausaha, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan YBhg. Dato’ Halimah Hassan, Ketua Pengarah, Jabatan Alam Sekitar.

YB Datuk Ir. Haji Hamim Bin Samuri, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar menyempurnakan Majlis Pra-Pelancaran Sambutan Minggu Alam Sekitar Malaysia Peringkat Kebangsaan 2015 dengan memotong reben bunting sebagai gimik pelancaran majlis tersebut.

Dalam majlis ini turut diadakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Dalam Pelaksanaan Program Kesedaran Alam Sekitar di antara Jabatan Alam Sekitar dengan lima (5) organisasi iaitu MARA, Perbadanan Putrajaya, Perak-Hanjoong Simen Sdn Bhd, Sinar Karangkraf Sdn Bhd dan Persatuan Lestari Alam.

Dengan termeterainya memorandum persefahaman tersebut telah menjadikan sebanyak 245 organisasi telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) / Nota Kerjasama Dalam Pelaksanaan Program Kesedaran Alam Sekitar dan (MoU) Kerjasama / Nota Kerjasama Dalam Pelaksanaan Program Program Rakan Alam Sekitar dengan Jabatan Alam Sekitar. Memorandum persefahaman ini adalah bertujuan sebagai memperkasakan keberkesanan pelaksanaan Program Kesedaran Alam Sekitar dan Program Rakan Alam Sekitar dengan penglibatan dan kerjasama serta peranan pelbagai pihak.

Sambutan MASM merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 21 hingga 27 Oktober setiap tahun dengan pengisian pelbagai aktiviti yang bertemakan alam sekitar diadakan. Objektif sambutan ini adalah untuk menyemai dan meningkatkan kesedaran alam sekitar di kalangan masyarakat Malaysia.

Pada tahun ini, Sambutan MASM membawa tema “Ya! Teruskan Gaya Hidup Lestari” (“Yes! Keep Sustainable Lifestyle Going”). Pemilihan tema ini merupakan kesinambungan daripada tema Minggu Alam Sekitar Malaysia Tahun 2014 . Ia dipilih bertujuan untuk memupuk semangat segenap lapisan masyarakat Malaysia dalam membudayakan gaya hidup lestari. Ia juga dipilih selaras dengan pelan transformasi Jabatan Alam Sekitar di mana pelbagai pihak termasuk Agensi Kerajaan, Syarikat Swasta, Pertubuhan Bukan Kerajaan, Institusi Pengajian Tinggi, Syarikat Multinasional dan sebagainya dijadikan sebagai rakan strategik Jabatan untuk menganjurkan program-program kesedaran alam sekitar yang dianggap sebagai satu integrasi ke arah membentuk budaya gaya hidup yang lestari.

Sambutan Minggu Alam Sekitar Malaysia disambut setiap tahun di Peringkat Kebangsaan secara bergilir-gilir penganjurannya mengikut negeri bagi meningkatkan komitmen Kerajaan Negeri dan memperkukuhkan kerjasama di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam pengurusan alam sekitar negara. Pada tahun ini, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merupakan tuan rumah bagi penganjuran Sambutan MASM Peringkat Kebangsaan ini.

Sambutan MASM juga disambut di Peringkat Negeri dengan penganjuran oleh semua Jabatan Alam Sekitar Negeri. Pelbagai pengisian program diadakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri, syarikat swasta, industri dan badan bukan kerajaan (NGO).

Sambutan Minggu Alam Sekitar Malaysia Peringkat Kebangsaan 2015 akan diadakan pada 17 Oktober 2015 (Sabtu) bermula jam 7.30 pagi hingga 5.00 petang bertempat di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. Majlis perasmiannya akan disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Dr. Haji Wan Junaidi Bin Tuanku Jaafar, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar yang turut akan menyempurnakan pelepasan peserta bagi acara `Enviro-Hunt, Pertandingan Fotografi dan `Mini Pelancaran Buku Manual Indikator Kesedaran Alam Sekitar di Malaysia’.

Antara aktiviti lain yang akan diadakan adalah `Promosi Household E-Waste di Lembah Klang 2015’, `Aktiviti Enviro-Doodles Bersama VVIP’, Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak dengan kerjasama Bank Rakyat, Karaoke Alam Sekitar, Pemeriksaan Kesihatan, Aktiviti Pengumpulan E-Waste, Kuiz Alam Sekitar, Pameran Kucing, Program Cinta Alam dengan kerjasama Alam Flora Sdn Bhd, Demo Pengkomposan Baja, Demo Artwork Batik melibatkan kerjasama SWCorp serta pameran dan jualan turut diadakan. Program yang diadakan pada tahun ini berkonsepkan aktiviti riadah dan secara santai yang mendekati alam sekitar. Penganjuran program ini mensasarkan penglibatan penyertaan orang awam dan dijangkakan seramai 10,000 orang akan menghadiri program ini.

Orang ramai adalah dijemput hadir ke Sambutan Minggu Alam Sekitar Malaysia Peringkat Kebangsaan 2015 yang akan diadakan pada 17 Oktober 2015 (Sabtu) bertempat di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. Sebarang maklumat atau pertanyaan lanjut boleh menghubungi Urusetia MASM 2015, Jabatan Alam Sekitar Putrajaya di talian 03-8871 2000 atau melayari laman web Jabatan Alam Sekitar di www.doe.gov.my, portal Rakan Alam Sekitar di ras.doe.gov.my serta mengikuti Facebook Rakan Alam Sekitar dan Instagram Rakan Alam Sekitar.

SoftLaunch

????????????????????????????????????

????????????????????????????????????