Wira Alam


Logo Wira Alam

Pengenalan

Program Wira Alam telah dilancarkan pada 5 Jun 1998 oleh Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar dan Menteri Pendidikan Malaysia yang ketika itu Y.B. Dato’ Seri Law Hieng Ding dan Y.B. Dato’ Sari Najib Tun Razak khusus untuk para pelajar. Projek ini bertujuan untuk memotivasikan dan memberi peluang kepada para pelajar memberi sumbangan dalam aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar supaya kualiti alam sekitar negara dapat ditingkatkan dan dikekalkan. Projek ini merupakan suatu program kerjasama pintar antara Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS).

Objektif

Objektif Program Wira Alam adalah seperti berikut:-

  • Menyediakan peluang kepada para pelajar untuk melibatkan diri secara individu atau berkumpulan dalam aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar;
  • Menarik minat dan memotivasikan pelajar untuk melibatkan diri dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran berkaitan alam sekitar;
  • Mendekatkan pelajar dengan masyarakat, selaras dengan konsep Masyarakat Penyayang;
  • Mewujudkan generasi pelapis yang boleh bertindak secara bijaksana, berkemahiran dan berpengetahuan terhadap alam sekitar; dan
  • Menghargai sumbangan para pelajar dalam bidang alam sekitar.

Pelaksanaan Program

Program Wira Alam dilaksanakan menerusi tiga (3) buah buku aktiviti iaitu Buku Aktiviti Wira Diri (Tahap 1), Buku Aktiviti Wira Komuniti (Tahap) dan Buku Aktiviti Wira Alam (Tahap 3). Program ini dilaksanakan dengan kerjasama di antara Jabatan Alam Sekitar dengan, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS).

Wira Alam-Tahap 1

Wira Alam-Tahap 2

Wira Alam-Tahap 3

Penyertaan Program

Program ini diadakan pada setiap tahun dengan melibatkan penyertaan dari kalangan pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara. Para pelajar yang menyertai program ini perlu melaksanakan aktiviti-aktiviti sebagaimana dalam buku-buku aktiviti tersebut. Setelah pelaksanaan tersebut, para pelajar akan melengkapkan maklumat yang diperlukan dalam buku-buku aktiviti tersebut dan apabila ianya siap dilengkapkan para pelajar akan mengemukakannya kepada Jabatan Alam Sekitar menerusi guru pembimbing yang ditetapkan di setiap sekolah.

Program ini disertai oleh pelajar-pelajar sekolah rendah (Tahun 4 hingga 6) dan menengah (Tingkatan 1 hingga 5). Panduan pelaksanaan Projek Wira Alam adalah berdasarkan ‘Buku Panduan Projek Wira Alam’. Manakala pelaksanaan Projek Wira Alam adalah berdasarkan tugasan khusus kepada para pelajar iaitu ‘Projek Wira Alam’ yang terbahagi kepada tiga tahap iaitu Aktiviti Wira Diri (Tahap 1), Aktiviti Wira Alam Komuniti (Tahap 2) dan Aktiviti Wira Alam (Tahap 3). Setiap pelajar yang menyertai program ini perlu menyelesaikan tugasan yang ditetapkan sebagaimana dalam buku aktiviti bagi setiap tahap tersebut sebelum ke peringkat seterusnya.

Anugerah Wira Alam

Menerusi program ini secara tidak langsung akan menimbulkan minat yang mendalam dan membentuk personaliti yang positif di kalangan para pelajar tersebut terhadap alam sekitar.

Justeru, penyertaan yang dikemukakan kepada Jabatan Alam Sekitar akan dinilai oleh Panel-panel Penilai yang dilantik. Sebagai penghargaan terhadap usaha-usaha murni para pelajar ini, satu penganugerahan Wira Alam akan diberikan kepada yang berjaya.