Kad Keahlian Rakan Alam Sekitar


Program Rakan Alam Sekitar (RAS) merupakan inisiatif Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) dalam membangunkan kesedaran dan menggerakkan anggota masyarakat dalam aktiviti pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar. Rakan Alam Sekitar melibatkan anggota masyarakat secara `hands-on’ iaitu menjadi `mata dan telinga’ untuk membantu agensi-agensi Kerajaan yang bertanggungjawab dalam membanteras kegiatan-kegiatan yang merosakkan atau mencemarkan alam sekitar.

Penyertaan sebagai ahli Rakan Alam Sekitar dibuat menerusi Borang Keahlian Rakan Alam Sekitar dan pendaftaran juga boleh dibuat secara atas talian (`online’) di Laman Portal Rakan Alam Sekitar. Pendaftaran penyertaan keahlian Rakan Alam Sekitar diproses oleh Urus Setia Rakan Alam Sekitar, Jabatan Alam Sekitar. Orang ramai yang telah berdaftar sebagai ahli Rakan Alam Sekitar akan menerima Kad Keahlian Rakan Alam Sekitar setelah pendaftaran keahlian tersebut selesai diproses.

Kad Keahlian Rakan Alam Sekitar diberikan kepada orang awam berfungsi sebagai menyatakan bahawa seseorang itu adalah Ahli Rakan Alam Sekitar yang telah didaftarkan. Antara maklumat yang terdapat pada Kad Keahlian Rakan Alam Sekitar adalah seperti Nama, Nombor Keahlian dan Bulan/Tahun Pendaftaran Keahlian. Selain daripada itu, maklumat lain yang ada tertera pada Kad Keahlian Rakan Alam Sekitar ialah Nombor Telefon Talian Hotline Jabatan Alam Sekitar iaitu 1-800-88-2727 serta alamat Laman Web Jabatan Alam Sekitar iaitu www.doe.gov.my.

Untuk makluman, fungsi maklumat Talian Hotline Jabatan Alam Sekitar yang tertera tersebut membolehkan orang ramai menghubungi Jabatan Alam Sekitar bagi membantu membuat aduan, laporan atau pertanyaan mengenai kes-kes atau isu alam sekitar semasa. Talian Hotline tersebut beroperasi 24 jam dan merupakan saluran yang tepat bagi orang awam untuk membuat aduan, laporan atau pertanyaan mengenainya. Ini bagi memenuhi tujuan penubuhan Rakan Alam Sekitar seperti berikut:-

  1. Memberikan kesedaran alam sekitar di setiap lapisan masyarakat
  2. Menanam rasa tanggungjawab di kalangan masyarakat untuk bertindak dan mengambil bahagian dalam menjaga alam sekitar yang dikongsi bersama
  3. Menyediakan saluran yang tepat bagi masyarakat membuat aduan atau pandangan mengenai alam sekitar kepada agensi-agensi kerajaan berkenaan

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, boleh menghubungi Urus Setia Rakan Alam Sekitar di talian 03-8871 2000 atau e-mail kepada urusetiaras@doe.gov.my.