Majlis Pelancaran Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM) Peringkat Kebangsaan 2015



Majlis Pelancaran Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM) Peringkat Kebangsaan 2015 telah diadakan pada 17 Oktober 2015 bertempat di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM) disambut pada 21 hingga 27 Oktober setiap tahun dengan objektif untuk menyemai dan meningkatkan kesedaran alam sekitar di kalangan masyarakat Malaysia. Sambutan ini juga adalah bersempena dengan Hari Alam Sekitar Malaysia yang jatuh pada 21 Oktober setiap tahun.

Sambutan MASM Tahun 2015 membawa tema “Ya! Teruskan Gaya Hidup Lestari” Pemilihan tema ini adalah sebagai kesinambungan bagi meneruskan agenda Jabatan Alam Sekitar untuk memupuk masyarakat Malaysia agar terus membudayakan amalan gaya hidup lestari dalam usaha menjaga kualiti alam sekitar negara supaya sentiasa berada di tahap yang baik.

Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh YB Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi Bin Tuanku Jaafar, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar. Turut hadir dalam majlis ini adalah YB Datuk Ir. Haji Hamim bin Samuri, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, YBhg. Dato’ Azizan Ahmad, Ketua Setiausaha, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan YBhg. Dato’ Halimah Hassan, Ketua Pengarah, Jabatan Alam Sekitar.

YB Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar turut menyempurnakan Mini Pelancaran Buku `Manual Indikator Untuk Menilai Kesedaran Alam Sekitar di Malaysia’. Buku ini disediakan untuk memberi kemudahan kepada pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkepentingan untuk menjadikan sebagai panduan asas untuk menilai tahap kesedaran alam sekitar di kalangan masyarakat Malaysia.

Antara aktiviti-aktiviti yang turut diadakan dalam Sambutan Minggu Alam Sekitar Malaysia Peringkat Kebangsaan ini adalah Acara Senam `Greenrobik’, `Enviro-Hunt’ Program Cinta Alam, Pertandingan `Face Painting’, Pertandingan Pakaian Beragam Alam Sekitar – `Waste is A Maze’, Pameran Taman Mini, Taman Floria dan Lukisan Mural, Pertandingan `Enviro-Doodle: Doodle Dash for the Environment’, Pertandingan Mewarna Kanak-kanak, Karaoke Alam Sekitar, Pemeriksaan Kesihatan, Kuiz Alam Sekitar, Pameran Peranan Pemilik dan Penjagaan Kucing Kesayangan, Demonstrasi Pengkomposan Baja, Demonstrasi Seni Batik, Program Pengumpulan Barangan Elektrik dan Elektronik (e-Waste) serta Pameran Interaktif.

Penganjuran MASM 2015 turut mendapat kerjasama daripada Rakan Strategik Jabatan Alam Sekitar iaitu organisasi yang telah menandatangani Memorandum Persefahaman Kerjasama dalam Program Kesedaran Alam Sekitar dan Rakan Alam Sekitar dengan Jabatan Alam Sekitar.

61

67

26

52

58

13