Anugerah Langkawi


Logo Anugerah Langkawi

Anugerah Langkawi dianjurkan sebagai memberi pengiktirafan kepada individu dan organisasi yang telah mencapai kecemerlangan dalam menyumbangkan kepakaran, buah fikiran, tenaga dan masa dalam bidang alam sekitar. Anugerah ini juga merupakan insipirasi kepada inidividu dan organisasi lain untuk terus berusaha ke arah pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Pengurniaan Anugerah Langkawi kepada warganegara Malaysia merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Jabatan Alam Sekitar sempena sambutan Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM) bagi memperingati Deklarasi Langkawi yang telah ditandatangani oleh Ketua-ketua Negara Komanwel pada tahun 1989. Anugerah ini telah mula diperkenalkan pada tahun 1991 bagi menunjukkan komitmen rakyat Malaysia amnya dan negara khususnya dalam mencapai matlamat pembangunan mapan sepertimana termaktub dalam Deklarasi Langkawi.

Anugerah Langkawi memberikan penghargaan dan penghormatan tertinggi negara kepada individu dan organisasi/pertubuhan yang telah memberikan sumbangan yang besar dalam bidang alam sekitar, sama ada dalam bidang pengurusan, perniagaan, penyelidikan saintifik, akademik, penulisan dan bidang-bidang lain yang berkaitan. Ianya dihadiahkan kepada individu dan organisasi/pertubuhan yang telah memberikan sumbangan tenaga dan buah fikiran dalam bidang alam sekitar serta bergiat ke arah:

  1. Meningkatkan penyertaan orang awam dalam perlindungan alam sekitar;
  2. Menghasilkan keberhasilan (outcome) yang penting dan berjaya menyelesaikan masalah perlindungan alam sekitar di peringkat tempatan dan/atau antarabangsa;
  3. Berjaya menarik perhatian masyarakat kepada masalah alam sekitar yang genting/penting dan menggerakkan tindakan bersepadu semua pihak ke arah penyelesaiannya.