Jelajah Jejak Mesra Rakan Alam Sekitar (JJMRAS)


Latarbelakang

Program Jelajah Jejak Mesra Rakan Alam Sekitar atau dikenali sebagai JJMRAS merupakan salah sebuah aktiviti yang dilaksanakan di bawah Program Rakan Alam Sekitar. Program tersebut merupakan program yang dianjurkan oleh Jabatan Alam Sekitar dan telah mula dilaksanakan dari tahun 2012 dengan objektif program adalah seperti berikut:-

  • Memberi pendedahan aktiviti luar yang berkaitan dengan alam sekitar, alam semulajadi dan sumber asli kepada peserta;
  • Memberi peluang kepada peserta untuk melibatkan diri secara langsung dan memberi sumbangan secara praktikal dalam aktiviti yang berkaitan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar;
  • Memberi peluang kepada peserta untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar
  • Membuat sebaran dan hebahan maklumat mengenai aktiviti pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar

 

Pelaksanaan dan Konsep Program

Konsep Program Jelajah Jejak Mesra Rakan Alam Sekitar dijalankan dengan mengunjungi sesebuah lokasi dan menjalankan aktiviti-aktiviti berkaitan alam sekitar atau kesedaran alam sekitar dengan melibatkan penyertaan komuniti setempat.

Program Jelajah Jejak Mesra Rakan Alam Sekitar melibatkan pengisian elemen pelaksanaan seperti berikut:-

  • Bersama Masyarakat Setempat dalam Pemeliharaan dan Pemuliharaan Alam Sekitar
    • Menerusi Program Jelajah Jejak Mesra Rakan Alam Sekitar, usaha masyarakat bersama agensi Kerajaan dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dipraktikkan. Ini selaras dengan hasrat Jabatan Alam Sekitar untuk mewujudkan masyarakat yang mempunyai rasa tanggungjawab bersama yang tinggi dalam usaha menjaga alam sekitar.Antara aktiviti yang akan dilaksanakan menerusi Program Jelajah Jejak Mesra Rakan Alam Sekitar adalah seperti gotong-royong, pembersihan kawasan dan khidmat nasihat mengenai penjagaan alam sekitar kepada masyarakat. Menerusi aktiviti ini, dapat meningkatkan sumbangan bersama dan bakti para peserta dan komuniti terhadap alam sekitar.
  • Eksplorasi dan Riadah Menghayati Alam Semulajadi
    • Para peserta akan dilibatkan menerusi eksplorasi menghayati alam semulajadi dengan mengunjungi lokasi yang berteraskan menhargai alam sekitar. Peserta akan diberi pendedahan mengenai kepentingan dan keindahan alam semulajadi. Menerusi aktiviti ini, dapat meningkatkan rasa penghargaan peserta mengenai pentingnya pemeliharaan alam semulajadi yang amat tidak ternilai harganya.Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah seperti mengenali ekosistem hutan, sungai, gunung, gua, paya bakau dan lain-lain; aktiviti penghayatan alam semulajadi seperti berjalan di kanopi hutan atau `Forest Canopy Walk’, penghayatan hidupan kelip-kelip, pemerhatian spesies flora & fauna dan lain-lain
  • Pendidikan Alam Sekitar
    • Program ini juga melibatkan pelaksanaan elemen pendidikan dan penghayatan alam sekitar samada secara langsung atau interaktif. Antara aktiviti pendidikan alam sekitar adalah seperti mengadakan sesi taklimat mengenai alam sekitar, melawat ke tapak konservasi alam semulajadi, flora dan juga fauna. Antara aktiviti interaktif yang diadakan adalah seperti mengadakan Kuiz Alam Sekitar, Enviro-Race, aktiviti `Mencari Bintang’ dan lain-lain.
  • Amalan Gaya Hidup Lestari
    • Menerusi Program Jelajah Jejak Mesra Rakan Alam Sekitar, para peserta didedahkan dan diberi penerangan mengenai amalan gaya hidup lestari. Ini adalah selaras dengan slogan baru Rakan Alam Sekitar iaitu Kami Mahu Gaya Hidup Lestari atau `We Want A Sustainable Lifestyle’.
  • Kempen Promosi dan Kesedaran Alam Sekitar
    • Menerusi Program Jelajah Jejak Mesra Rakan Alam Sekitar, ianya dapat membantu dalam usaha mempromosi mesej-mesej yang hendak disampaikan oleh Jabatan Alam Sekitar kepada masyarakat bagi meningkatkan kesedaran orang awam mengenai alam sekitar. Antaranya adalah seperti menjayakan kempen-kempen semasa seperti mempromosi penyertaan keahlian Rakan Alam Sekitar, mempromosi Kempen Sambutan Hari Bumi (22 April), Kempen Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia (5 Jun), Kempen Sambutan Minggu Alam Sekitar Malaysia (21 hingga 27 Oktober), mempromosi `Kempen Amalan Mesra Alam’ dan Kempen `Kami Mahu Gaya Hidup Lestari’ dan lain-lain
  • Perkongsian dan Penyebaran Maklumat Mengenai Alam Sekitar
    • Menerusi program ini juga, penyebaran maklumat dapat disampaikan kepada masyarakat dengan adanya konsep perkongsian maklumat. Dalam perlaksanaan program dan aktiviti, maklumat mengenai alam sekitar akan disampaikan kepada peserta dan orang awam.Maklumat mengenai perlaksanaan program dan aktiviti juga disebarkan dan dikongsikan kepada masyarakat menerusi medium sebaran maklumat seperti media massa termasuk media cetak, media elektronik dan media sosial iaitu Facebook Rakan Alam Sekitar dan juga menerusi laman Portal Rakan Alam Sekitar, Jabatan Alam Sekitar.Bahan-bahan promosi dan maklumat mengenai alam sekitar juga diedarkan kepada orang awam seperti brosur dan lain-lain menerusi program ini.
  • Ramah Mesra Bersama Komuniti
    • Menerusi program ini juga, Agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan yang menyertai program ini dapat mendekati masyarakat secara langsung. Menerusi program ini juga, beberapa lokasi dikunjungi seperti pasar awam, pusat membeli-belah, kawasan riadah / rekreasi awam, medan niaga dan lain-lain bagi mempromosi mengenai Rakan Alam Sekitar di samping menyampaikan maklumat lain yang berkaitan.Aktiviti dilaksanakan dengan mendekati masyarakat untuk mengetahui permasalahan semasa mengenai alam sekitar. Ini adalah kerana masyarakat setempat lebih mengetahui dan menerima impak secara langsung dari perubahan persekitaran semasa.Antara tempat yang dikunjungi adalah tempat yang mendekati komuniti seperti pasar awam, pasar tani, pantai awam, pusat riadah awam, pusat membeli-belah dan lain-lain
  • Pembangunan Kapasiti Sumber Manusia
    • Program ini juga merupakan sebagai program pembangunan kapasiti sumber manusia kepada Pegawai Jabatan Alam Sekitar di mana dapat meningkatkan kemahiran dan pengetahuan kepada Pegawai Jabatan Alam Sekitar dalam bidang pengurusan alam sekitar, kesedaran alam sekitar dan pendidikan alam sekitar kepada orang awam. Program ini juga akan melibatkan elemen seperti fasilitator, penyampaian taklimat dan demonstrasi mengenai alam sekitar kepada orang awam.

 

Manfaat Pelaksanaan Program

Program Jelajah Jejak Mesra Rakan Alam Sekitar (JJMRAS) merupakan satu strategi pendekataan baru yang dilaksanakan oleh Jabatan Alam Sekitar dalam Kempen Promosi dan Kesedaran Alam Sekitar kepada orang awam. Matlamat utama program ini adalah dengan memanfaatkan Program Rakan Alam Sekitar menerusi pendekatan program berdasarkan mendekati masyarakat atau `outreach programme’ dengan alam sekitar.

Program JJMRAS diharapkan dapat memberi impak yang siginifikan kepada masyarakat dan implikasinya terhadap alam sekitar dengan pelaksanaan pengisian program seperti di atas.