Debat Alam Sekitar


 

Debat

Pengenalan

Pertandingan Debat Alam Sekitar Antara Institusi Pengajian Tinggi  pertama kalinya telah diadakan pada tahun 1986. Walau bagaimanapun ia menjadi acara tahunan bermula tahun 1991 setelah kerajaan Malaysia mengisytiharkan 21 Oktober setiap tahun sebagai Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM).

Ia merupakan satu program tahunan yang dianjurkan oleh Jabatan Alam Sekitar bersama Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM) sejak awal tahun 90 an lagi. Penganjur utama pertandingan debat ini adalah Jabatan Alam Sekitar dengan kerjasama MADUM, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pendidikan Malaysia. Bagi memudahkan pengurusan dan penganjuran pertandingan tersebut, salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi yang mengambil bahagian akan dipilih secara bergilir-gilir menjadi tuan rumah pertandingan debat pada setiap tahun.

Pertandingan Debat Alam Sekitar Antara Institusi Pengajian Tinggi Malaysia ini merupakan satu aktiviti tahunan yang diharapkan dapat meningkatkan pengetahuan dan kesedaran di kalangan mahasiswa tentang pelbagai isu dan permasalahan alam sekitar. Ia juga dapat membentuk budaya berfikir dan berdebat di kalangan mahasiswa.

Objektif

  1. Meningkatkan pengetahuan mahasiswa yang juga pemimpin pada masa hadapan akan isu-isu/dasar-dasar/polisi-polisi berkenaan alam sekitar di peringkat nasional dan antarabangsa
  2. Meluaskan jaringan kerjasama antara institusi pengajian tinggi di Malaysia, tidak kira awam atau pun swasta bagi membolehkan proses perkongsian ilmu
  3. Menggalakkan mahasiswa untuk lebih berfikiran terbuka, kritis dan celik akan pengetahuan umum menyentuh aspek alam sekitar dan pemeliharaan serta pemuliharaan sumber asli
  4. Melatih mahasiswa sebagai pemimpin di masa hadapan untuk berfikir dan melahirkan buah fikiran secara berkesan dan bernas
  5. Sebagai satu cara untuk meningkatkan kemahiran dan bakat pidato dan debat di kalangan mahasiswa

Rasional Logo

Logo Debat Alam Sekitar buat pertama kali diperkenalkan pada Pertandingan Debat Alam Sekitar ke-21 pada tahun 2011. Pemilihan logo ini telah dibuat menerusi Pertandingan Mencipta Logo Debat Alam Sekitar. Logo ini akan digunapakai untuk pertandingan seterusnya.

Secara keseluruhannya logo ini direka dengan memasukkan elemen-elemen penting iaitu perkataan DEBAT ALAM SEKITAR ANTARA INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI dengan warna yang bersesuaian dan gambar bunga raya sebagai simbol alam sekitar.

Perkataan DEBAT – warna putih pada huruf D membawa maksud kebersihan dan kemuliaan bagi menggambarkan peribadi pendebat selaku penuntut Institusi Pengajian Tinggi yang berjiwa bersih dan berakhlak mulia. Warna hitam membawa maksud kekuatan dan keyakinan dalam berdebat.

Perkataan ALAM SEKITAR berwarna hijau – Warna hijau melambangkan kesuburan, pertumbuhan dan harmoni yang biasa dikaitkan dengan kehidupan dan alam sekitar. Hijau adalah warna korporat Jabatan Alam Sekitar selaku penganjur pertandingan ini.

Bunga berwarna merah – Bunga Raya adalah Bunga Kebangsaan Malaysia dan dalam konteks logo ini ia menjadi lambang keberanian, kekuatan dan kemahuan yang agresif dalam berhujah dan berdebat.

Usia Program Debat Antara Institusi Pengajian Tinggi

Jabatan Alam Sekitar telah menganjurkan Pertandingan Debat Alam Sekitar Antara Instistusi Pengajian Tinggi buat pertama kalinya pada tahun 1985. Pertandingan Debat yang melibatkan kerjasama antara Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Pengajian Tinggi, Majlis Debat Antara Universiti-universit di Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka ini telah dianjurkan secara tahunan mulai tahun 1991. Kini usianya telah menjangkau 24 tahun pada tahun ini. Ianya bukan suatu jangkamasa yang sekejap, malah ramai di kalangan pendebat yang berdebat pada tahun ini masih belum pun dilahirkan ketika Pertandingan Debat yang dianjurkan buat kali petamanya pada tahun 1985. Pertandingan Debat ini merupakan satu rekod pertandingan debat yang tertua di Malaysia. Debat Alam Sekitar menjadi legasi debat antara Institusi-institusi Pengajian Tinggi di Malaysia yang paling lama bertahan malah mengekalkan prestijnya sebagai kejuaraan yang menjadi idaman semua pendebat universiti.

Sedikit singkapan sejarah Pertandingan Debat Alam Sekitar Antara Institusi Pengajian Tinggi. Penyertaan yang mulanya hanya melibatkan peserta daripada IPT Awam telah turut dibuka kepada IPT Swasta mulai tahun 2003. Seperti pertandingan debat lain di Malaysia, Pertandingan Debat Alam Sekitar ini juga menyaksikan beberapa perubahan format pertandingan selaras dengan pertambahan peserta dan untuk memberi kesan yang lebih baik untuk mencapai objektif penganjurannya. Contohnya, dengan menggunakan kaedah Debat Ala Parlimen, pendebat akan dilatih untuk berhujah dan menyampaikan segala maklumat yang diusulkan dengan lebih fokus selain menguji pemahaman dan penguasaan isu melalui celahan dan jawapan kepada celahan semasa debat dijalankan.

 

PERTANDINGAN DEBAT ALAM SEKITAR ANTARA INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI TAHUN 2019

Setelah tiga tahun tidak dianjurkan, kali terakhir tahun 2015, maka Debat Alam Sekitar antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang merupakan program tahunan sebelum ini sejak tahun 1991 yang dianjurkan oleh Jabatan Alam Sekitar dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), Dewan Bahasa dan Pustaka telah pun kembali semula dengan Rakan Strategik, Petroliam Nasional Berhad.(Petronas) pada tahun ini.

Pertandingan debat ini dikendalikan secara debat ala Parlimen dan juga debat terbuka (debat biasa). Penentuan pasukan yang bertanding sama ada berperanan sebagai kerajaan atau pembangkang dibuat menggunakan kaedah sistem ‘bracket power match’ untuk peringkat pusingan awal. Kedudukan setiap pasukan dibuat berdasarkan menang/kalah, juri, julat kemenangan dan markah keseluruhan.

Pertandingan peringkat awal melibatkan lima (5) pusingan. Lapan (8) pasukan terbaik dipilih untuk ke peringkat suku akhir dan empat (4) pasukan yang menang pula ke peringkat separuh akhir dan seterusnya dua (2) pasukan terbaik bertanding di peringkat akhir. Senarai pasukan IPT yang menyertai pertandingan adalah seperti Jadual 1.

Jadual 1: Senarai Pasukan Institut Pendidikan Tinggi Yang Menyertai Pertandingan

Pertandingan Debat Alam Sekitar antara IPT kali ke-26 ini telah diadakan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bermula dari 31 Oktober hingga 03 November 2019 bersempena sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2019. Pelbagai program kesedaran alam sekitar yang lain turut dianjurkan selain perdebatan bagi memberi galakan kepada pelajar dan orang awam untuk lebih mencintai alam sekitar seperti pameran lestari dan program mengutip sampah di tepi pantai sambil beriadah. Di samping itu, sesi Pelancaran Alumni Debat Alam Sekitar juga diadakan seperti maklumat dalam Jadual 2.

Pertandingan peringkat akhir pada malam 03 November 2019 telah pun berlangsung di Dewan Al-Muktafibillah Shah, UniSZA di antara pasukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaya (UM).

Majlis perasmian dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB Puan Isnaraissah Munirah Majilis sambil diiringi oleh Yang Berbahagia Puan Norlin binti Jaafar, Ketua Pengarah Alam Sekitar Malaysia dan disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniSZA, Yang Berbahagia Profesor Dr. Kamarul Shukri bin Mat Teh, Pengerusi MADUM, Yang Berbahagia Prof. Madya Dr. Zulkifli Hassan dan Y.M. Ungku Haslina binti Ungku Md Tahir, Ketua Sektor Alam Sekitar, Kesihatan dan Keselamatan Petronas.

Jadual 2 : Sesi Pelancaran Alumni Debat Alam Sekitar Dengan Perkongsian Empat Generasi Debat Alam Sekitar

Johan bagi Pertandingan Debat Alam Sekitar antara IPT akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM8,000.00 berserta sijil penyertaan, piala iringan dan Piala Pusingan Menteri MESTECC.

Manakala bagi naib johan pula menerima wang tunai berjumlah RM5,000.00 berserta piala iringan dan sijil penyertaan dan bagi dua pasukan pencapaian separuh akhir menerima wang tunai RM1,500.00, plak dan sijil penyertaan.

Bagi pendebat terbaik peringkat akhir akan menerima wang tunai RM1,500, plak dan sijil penyertaan. Manakala bagi pendebat terbaik liga akan menerima wang tunai RM1,000.00, plak dan sijil penyertaan. Senarai nama pemenang-pemenang adalah seperti Jadual 3.

Pihak MADUM juga telah berbesar hati untuk memberi pengiktirafan kepada Pertandingan Debat ini sebagai Debat Bahasa Melayu pertama yang menggunakan penjurian hakim tanpa penggunaan kertas (Sijil Penilaian Mesra Alam).