Sekolah Lestari – Anugerah Alam Sekitar


Logo SLAAS

Latar Belakang

Sekolah Lestari – Anugerah Alam Sekitar merupakan program usahasama Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Program ini telah dilancarkan secara rasminya oleh YB Dato’ Sri Hj. Adenan Hj. Satem, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dan YB Dato’ Sri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pelajaran Malaysia pada 27 Januari 2005.

Sekolah Lestari bertujuan membentuk persekitaran sekolah yang menitikberatkan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dari segi aspek pengurusan, kurikulum, kokurikulum dan penghijauan.

Hasrat Sekolah Lestari

Sekolah Lestari adalah satu usaha bagi melaksanakan Dasar Alam Sekitar Negara. Dasar Alam Sekitar Negara mempunyai lapan prinsip dan tujuh Srategi Hijau. Strategi Hijau yang pertama memfokuskan aspek pendidikan dan kesedaran yang memberi kefahaman tentang konsep kesejahteraan alam sekitar dan pembangunan lestari, selaras dengan cadangan dalam Agenda 21.

Definisi Sekolah Lestari – Anugerah Alam Sekitar

Sekolah Lestari membudayakan pendidikan alam sekitar dengan menerapkan nilai murni alam sekitar dalam aspek pengurusan, kurikulum, kokurikulum dan penghijauan secara berterusan bagi mewujudkan amalan hidup yang selaras dengan konsep pembangunan lestari.

Objektif Sekolah Lestari – Anugerah Alam Sekitar

Sekolah Lestari dibentuk bagi mencapai objektif berikut:-

  1. Memupuk nilai murni alam sekitar pada kalangan warga sekolah
  2. Meningkatkan tahap kesedaran warga sekolah mengenai kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar
  3. Menggalakkan warga sekolah melaksanakan aktiviti mesra alam dengan berkesan
  4. Meningkatkan kerjasama antara sekolah dengan masyarakat dalam menjayakan pendidikan alam sekitar; dan
  5. Mewujudkan suasana sekolah yang kondusif bagi melahirkan warga sekolah yang mempraktikkan amalan hidup lestari

Kompones Sekolah Lestari – Anugerah Alam Sekitar

Sekolah Lestari merangkumi empat komponen iaitu:-

  1. Pengurusan
  2. Kurikulum
  3. Kokurikulum
  4. Penghijauan

Brosur Sekolah Lestari – Anugerah Alam Sekitar

Muat turun brosur Sekolah Lestari – Anugerah Alam Sekitar di pautan berikut:- Brosur Sekolah Lestari