Pelancaran Program Rakan Alam Sekitar Peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Pusat RAS 1 Malaysia (PR1SMA) dan Penyampaian Watikah Pelantikan Kapten RAS



Majlis Sambutan Hari Bumi 2014 telah diadakan pada 22 April 2014 bertempat di Dewan Banquet, Universiti Putra Malaysia, Serdang. Majlis telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Dr. James Dawos Mamit, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBhg. Prof. Datuk Dr. Mohd. Fauzi Hj. Ramlan, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia.

Majlis Sambutan Hari Bumi ini telah diadakan di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang juga merupakan tuan rumah bagi melambangkan komitmen warga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) ke arah kelestarian dan mewujudkan perkongsian pintar di antara Jabatan Alam Sekitar dengan IPT. Hari Bumi disambut pada 22 April setiap tahun di peringkat antarabangsa menerusi pelbagai inisiatif dan program yang dilancarkan untuk memberi kesedaran dan melibatkan penyertaan awam dalam usaha untuk memelihara dan memulihara alam sekitar.

Hari Bumi 2014 disambut dengan membawa tema Bandar Hijau atau “Green Cities”. Penganjuran Hari Bumi  ini diadakan dengan melibatkan penyertaan seramai 2,000 orang hadirin yang terdiri daripada kalangan wakil-wakil dari Agensi Kerajaan, Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Syarikat Swasta dan Pertubuhan Bukan Kerajaan.

Antara aktiviti yang diadakan adalah Pelepasan Acara Berbasikal `Envirocycle’, Persembahan Koir Alam Sekitar, Penayangan Montaj Rakan Alam Sekitar (RAS), Lagu dan Jingle RAS, Bacaan Ikrar RAS serta Penyerahan Borang Keahlian RAS oleh YBhg. Naib Canselor UPM kepada YB Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar sebagai simbolik Pelancaran Program RAS Peringkat IPT. Dalam majlis tersebut turut diadakan adalah acara Pelantikan Kapten RAS Peringkat IPT, Pelancaran Pusat RAS 1 Malaysia (PR1SMA) serta Acara Pameran Berkaitan Alam Sekitar.

Pelepasan Acara Berbasikal `Envirocycle’ dianjurkan bertujuan untuk menggalakkan warga UPM menggunakan basikal sebagai pengangkutan dalam kampus dan sekaligus dapat mengurangkan pencemaran udara dan amat bersesuaian dengan tema sambutan Hari Bumi pada tahun ini iaitu Bandar Hijau.

Majlis ini turut melibatkan Acara Pelantikan Kapten RAS yang berkonsepkan `Kepimpinan Rakan Alam Sekitar’ di Peringkat IPT. Kapten RAS akan dilantik di kalangan pelajar IPT yang merupakan ahli RAS dan aktif dalam aktiviti yang mampu meningkatkan kesedaran dan komitmen terhadap pemuliharaan alam sekitar. Ini adalah lanjutan daripada Program Rakan Alam Sekitar (RAS) yang telah bermula dari tahun 2009. Program RAS dibangunkan bertujuan untuk masyarakat menjadi `mata dan telinga’ kepada agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan dalam menangani isu alam sekitar semasa.

Acara Pelancaran Pusat RAS 1 Malaysia (PR1SMA) turut diadakan dengan pewujudan PR1SMA di UPM. Fakulti Perhutanan UPM telah dipilih bagi mewujudkan PR1SMA yang berfungsi sebagai `Environmental Knowledge Information Centre’. Antara fungsi PR1SMA adalah menjadi sebagai pusat latihan, informasi, rujukan dan aktiviti untuk ahli-ahli RAS selain daripada dapat mengeratkan jalinan kerjasama Ahli RAS dalam mempergiatkan usaha mengenai kesedaran alam sekitar.

Pada tahun 2013, JAS telah menjalinkan satu hubungan kerjasama menerusi Memorandum Persefahaman (MOU) Mengenai Kerjasama Dalam Pelaksanaan Program Kesedaran Alam Sekitar dan Program Rakan Alam Sekitar. Sebanyak 207 organisasi telah menandatangani MOU tersebut dengan sebanyak 22 daripadanya adalah IPT dari seluruh negara. UPM merupakan salah sebuah daripada IPT yang menandatangani MOU berkenaan.

Menerusi penganjuran Hari Bumi 2014 ini dapat menjayakan usaha Kerajaan terutamanya dengan melibatkan pelajar-pelajar IPT yang merupakan tunggak masa hadapan negara untuk mendukung usaha Kerajaan ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi secara lestari.

Kategori :
;

Kategori: Album