Pelancaran Rakan Alam Sekitar Sebagai Nadi Penggerak Komuniti Lestari



Majlis Pelancaran Rakan Alam Sekitar Sebagai Nadi Penggerak Komuniti Lestari telah diadakan pada 5 Jun 2014 bersempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2014 bertempat di Dataran Teluk Kemang, Port Dickson. Majlis telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Dr. James Dawos Mamit, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Majlis Pelancaran Rakan Alam Sekitar Sebagai Nadi Penggerak Komuniti Lestari diadakan dengan objektif ke arah pembentukan komuniti yang peka terhadap isu-isu alam sekitar semasa dan bergiat aktif dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Ini bagi mencapai matlamat Jabatan Alam Sekitar dalam membentuk “Masyarakat Yang Membudayakan Kelestarian Alam Sekitar” di negara ini.

Hari Alam Sekitar Sedunia 2014 membawa slogan “Raise your voice, Not the sea level”. Penganjuran majlis ini diadakan dengan melibatkan penyertaan seramai 5,000 orang hadirin yang terdiri daripada kalangan wakil-wakil dari Agensi Kerajaan, Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Syarikat Swasta, Pertubuhan Bukan Kerajaan, Pelajar Sekolah dan orang awam.

Antara acara utama yang diadakan dalam Majlis Pelancaran Rakan Alam Sekitar Sebagai Nadi Penggerak Komuniti Lestari tersebut adalah seperti berikut:-

  1. Penyampaian Watikah Pelantikan Kapten Rakan Alam Sekitar (Kapten RAS) Peringkat Parlimen
  2. Pelancaran Pusat Rakan Alam Sekitar (RAS) 1 Malaysia (PR1SMA)
  3. Penyerahan Borang RAS dari Wakil Komuniti Teluk Kemang dan dari Kapten RAS Mewakili Setiap Zon kepada YB Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar
  4. Upacara Penanaman Pokok Sebagai Simbolik Sempena Hari Alam Sekitar Sedunia

Penyampaian Watikah Pelantikan Kapten Rakan Alam Sekitar (Kapten RAS) yang dilantik di beberapa Kawasan Parlimen diadakan dalam majlis ini. Kapten RAS Peringkat Kawasan Parlimen yang dilantik ini memainkan peranan berdasarkan konsep ‘Kepimpinan Ahli RAS’. Bagi menjayakan Program RAS, Kepimpinan Ahli RAS menerusi Kapten RAS merupakan satu strategi di bawah pelaksanaan Program RAS bagi menggerakkan ahli-ahli RAS di bawah program yang berstruktur.

Pendekatan Kapten RAS di setiap Kawasan Parlimen adalah dengan mengambil faktor bahawa masyarakat setempat lebih dekat dengan elemen persekitaran di kawasan masing-masing. Masyarakat yang aktif, yang sentiasa dekat dengan masyarakat yang lain, yang peka dan mengambil tahu akan perkembangan situasi persekitaran masing-masing dapat membantu Kerajaan dalam menangani pencemaran alam sekitar agar kualiti alam sekitar sentiasa terpelihara baik.

Antara aktiviti yang turut diadakan adalah Acara Pembersihan Pantai bertempat di Pantai Teluk Kemang, Port Dickson, Acara Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak Kelab Nuri Bank Rakyat yang menganggarkan seramai 500 orang penyertaan bagi pertandingan mewarna ini. Turut diadakan adalah Program Kesedaran Kitar Semula Bahan Buangan / Kitar Semula Sisa Elektronik (E-Waste) dengan kerjasama Shan Poornam Metals Sdn Bhd dan Southern Waste Management (SWM) Environment Sdn Bhd.

Selain daripada itu, turut diadakan adalah Acara Larian `Enviro-Fun Run’ yang menandakan simbolik inisiatif ke arah langkah-langkah mengurangkan isu pemanasan global.  Aktiviti lain yang telah diadakan dalam program tersebut adalah Acara Enviro-Walk, Acara Senam `Greenrobics’ bersama Ahli Rakan Alam Sekitar serta Pameran Alam Sekitar yang disertai oleh 30 organisasi dari pelbagai agensi Kerajaan dan swasta. Turut diadakan ialah Kuiz Bersama Skuad Hirok Radio Malaysia Negeri FM.

Pelancaran Pusat Rakan Alam Sekitar (RAS) 1 Malaysia atau dikenali sebagai PR1SMA turut diadakan. PR1SMA merupakan satu kaedah penyampaian informasi secara virtual atau digital menerusi Sistem Aplikasi Enviro-Knowledge Management Centre (E-KMC). PR1SMA mengumpulkan dan memaparkan bahan-bahan rujukan berkaitan Rakan Alam Sekitar dan Alam Sekitar untuk dimanfaatkan kepada orang awam. Bahan-bahan rujukan tersebut dapat meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat mengenai alam sekitar dan seterusnya meningkatkan tahap keberkesanan penyampaian awam oleh Kerajaan. PR1SMA menerusi Sistem E-KMC boleh diakses menerusi pautan enviro.doe.gov.my . Ia juga boleh dimuat turun bagi versi mobil menerusi aplikasi `Google Play’.

Penganjuran Majlis Pelancaran Rakan Alam Sekitar Sebagai Nadi Penggerak Komuniti Lestari Sempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2014 ini dapat menjayakan usaha Kerajaan ke arah pembentukan `Masyarakat yang Membudayakan Kelestarian Alam Sekitar’ menerusi Program Rakan Alam Sekitar.

Kategori :
;

Kategori: Album