Jelajah Jejak Mesra Rakan Alam Sekitar, FRIM Mata Ayer, Perlis (Zon Utara)



Program Jelajah Jejak Mesra Rakan Alam Sekitar (JJMRAS) Zon Utara pada hari keempat adalah mengunjungi Stesen Penyelidikan Mata Ayer, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) atau dikenali sebagai SPF Mata Ayer di Perlis untuk aktiviti berjalan di titian kanopi (Canopy Walk). Titian ini telah siap dibina pada tahun 2011 bagi tujuan penyelidikan flora dan fauna, menjalankan penyelidikan dan pengumpulan maklumat berkenaan pokok jati serta mempromosi eko-pelancongan. Titian kanopi ini mempunyai ketinggian 17 meter dengan jarak 100 meter bagi setiap titian.

Stesen Penyelidikan Mata Ayer ini juga merupakan pusat rujukan untuk penubuhan ladang jati yang terletak dalam kawasan seluas 455 hektar dalam Hutan Simpan Mata Ayer di negeri Perlis.

Selepas aktiviti berjalan di titian kanopi di SPF Mata Ayer, peserta berkunjung ke Pusat Pelawat Dirian Pokok Jati, Tertua di Negeri Perlis dan Tanah Besar Semenanjung Malaysia, Hutan Simpan Mata Ayer, Perlis.

Menerusi aktiviti ini dapat meningkatkan pengetahuan mengenai kekayaan spesies di negara ini khususnya pokok jati. Antara informasi yang menarik ialah mengenai pokok jati tertua di Tanah Besar Semenanjung Malaysia adalah di Kompartmen 23, Hutan Simpan Kekal Mata Ayer, Perlis iaitu ditanam sejak tahun 1953 oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

Dengan mengenali beberapa spesies tumbuhan dengan lebih dekat dapat meningkatkan rasa penghargaan terhadap nilai-nilai yang ada pada alam semulajadi untuk ianya sentiasa dipulihara dan dipelihara dengan baik.

Program Jelajah Jejak Mesra Rakan Alam Sekitar Peringkat Zon Utara telah diadakan pada 26 hingga 29 April 2014 bersempena Hari Bumi yang disambut pada 22 April 2014.

Kategori :
;

Kategori: Album